Walaupun di Malaysia, tiada hukuman yang diberikan kepada mereka yang tidak keluar mengundi, namun rakyat Malaysia yang layak mengundi sering diingatkan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang bakal memegang kuasa pemerintahan.
Namun begitu, ada juga negara-negara yang mengenakan hukuman-hukuman tertentu terhadap rakyatnya yang didapati tidak keluar mengundi. Berikut adalah senarai sebahagian negara-negara yang mana rakyatnya boleh disimpulkan sebagai wajib untuk mengundi.
1. Belgium
Belgium merupakan negara tertua di dunia yang meletakkan syarat wajib mengundi, iaitu pertama kali diperkenalkan pada tahun 1892 untuk pengundi lelaki sahaja. Pada tahun 1949, syarat yang sama dikenakan terhadap pengundi perempuan.
Pengundi yang berusia 18 tahun dan ke atas boleh dikenakan denda jika tidak mengundi. Sekiranya gagal mengundi sekurang-kurangnya untuk 4 pilihanraya, mereka akan kehilangan hak untuk mengundi dalam tempoh 10 tahun. Malah, mereka yang gagal mengundi juga akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta.
2. Australia
Syarat wajib mengundi diperkenalkan di Australia pada tahun 1924. Pengundi-pengundi ini terikat dengan syarat untuk hadir ke pusat mengundi, namun boleh meninggalkan pusat mengundi setelah disahkan kehadiran mereka, walaupun tidak membuang undi.
Mereka yang gagal mengesahkan kehadiran mereka di piusat mengundi boleh dikenakan denda sebanyak AU$20 - AU$50 (RM 60 - RM 150) dan boleh dipenjara jika enggan menjelaskan denda.
3. Bolivia
Pada tahun 1952, Bolivia telah memperkenalkan sistem di mana setiap pengundi yang membuang undi akan diberikan kad sebagai bukti. Jika pengundi gagal untuk menunjukkan kad tersebut dalam tempoh tiga bulan selepas pilihan raya berlangsung, mereka boleh dihalang daripada mengeluarkan gaji dari bank.
4. Greece
Rakyat Greece yang gagal untuk melibatkan diri dalam pilihan raya bakal menghadapi kesukaran untuk memperbahurui passport dan lesen memandu.
5. Itali
Di Itali, tiada tindakan spesifik yang akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengundi. Namun tidak mengundi dianggap sebagai satu kesalahan moral sekaligus bakal menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan dalam komuniti.
Satu surat dikenali sebagai 'sekatan tidak berbahaya' akan dikeluarkan kepada mereka yang tidak mengundi yang menyebabkan ibu bapa sukar misalnya untuk mendapatkan perkhidmatan pusat asuhan untuk anak-anak.
6. Singapura
Rakyat di negara jiran kita ini sekiranya gagal untuk mengundi, nama mereka akan dikeluarkan daripada senarai pengundi. Mereka boleh membuat pendaftaran semula, namun perlu menyatakan alasan munasabah kegagalan mereka untuk mengundi sebelum ini.
7. Peru
Kerajaan Peru akan membekalkan satu setem khas kepada pengundi-pengundi yang keluar membuang undi. Mereka perlu membawa setem tersebut untuk tempoh beberapa bulan selepas raya bagi membolehkan mereka layak untuk mendapatkan perkhidmatan atau membeli barangan tertentu.







Tidak ada komentar:
Posting Komentar